Kita masih ketinggalan'
Oleh NOR HAIRULNIZAM WAHID
hairulnizam@hmetro.com.my
DI sebalik kejayaan Datuk Lee Chong Wei dan Pandelela Rinong membawa pulang pingat perak dan gangsa buat negara di Sukan Olimpik London yang baru saja berakhir, ternyata masih jauh untuk kita mengejar kehebatan jagoan dunia apatah lagi dengan kejutan demi kejutan dilakar setiap hari sepanjang temasya itu.
Nama seperti Ye Shiwen dan Ruta Meilutyte membuka mata pemerhati sukan dunia bukan saja dengan usia yang masih muda malah keupayaan mereka yang luar biasa turut memberi bayangan betapa negara luar semakin galak mempertaruhkan atlet muda untuk bertanding di pentas antarabangsa.
Begitupun dalam konteks negara, tiada istilah 'jaguh segera' untuk misi melahirkan atlet yang mampu berdiri sebaris jagoan dunia tetapi sebaliknya perlukan perancangan teliti dan berkala.
Malah tempoh empat tahun selepas London untuk ke Sukan Olimpik Rio menurut Pengarah Cawangan Atlet Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin belum mencukupi untuk melahirkan atlet berstatus bintang, memandangkan tidak semua sukan mempunyai atlet yang benar-benar bersedia ke tahap itu.
Meskipun tugas memilih atlet ke Olimpik menjadi tanggungjawab Cawangan Elit tapi menurutnya usaha perlu dilakukan mulai sekarang untuk membekal atlet yang mampu menjadi barisan kedua dalam menjayakan misi negara.
Dalam kesungguhan mencari emas pertama Olimpik yang gagal dilunaskan Chong Wei, tumpuan segera terarah kepada Zulfadli Zulkifli untuk menggalas tugas itu di Rio serta atlet lain yang pastinya akan diberi perhatian oleh MSN.
Setakat ini menurutnya, atlet berbasikal pelapis iaitu Malek Marcuss Maccrone, Muhd Firdaus Suardi dan Ummi Hamimah Mohamad kini menjalani latihan di Melbourne bersama atlet elit dan dipersiapkan dengan beberapa kejohanan, terkini Kejohanan Trek Remaja UCI di New Zealand, 22-26 Ogos ini.
Beliau juga turut lega apabila Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (Asum), Edwin Chong baru-baru ini memaklumkan kehadiran 12 atlet pelapis yang yang mampu menjadi sandaran berikutnya dalam sukan terjun selepas Pandelela. "Mereka mungkin memerlukan hingga lapan tahun untuk tampil sebagai atlet matang dan mampu mencabar atlet luar negara.
"Setidak-tidaknya menerusi program pelapis yang diwujudkan, kita mampu membentuk mereka untuk menyertai temasya seawal Sukan Sea," katanya.
Jika itu menjadi perkiraan, atlet seperti Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Muhamad Zubair Mohammad dari sukan menembak serta atlet angkat berat Mohd Hafifi Mansor yang juga graduan program pelapis dilihat berpeluang untuk menyerlah di Rio empat tahun lagi.
Ternyata program yang dimulakan MSN sejak 2008 semakin menepati objektif melahirkan lebih ramai atlet berpotensi untuk mewakili negara ke temasya sukan berprestij dari Sukan Sea, Komanwel, Asia hingga ke Olimpik.
Menurutnya sepanjang tahun ini seramai 32 atlet pelapis sudah diserapkan dalam skuad elit negara.
"Atlet seperti Ayuni dan Zubair sudah mula menunjukkan peningkatan dan kita harap mereka akan mencapai tahap kemuncak di Sukan Olimpik Rio," katanya.
No comments:
Post a Comment