
Pelapis negara dicabar pamer belang
MUHAMMAD FIRDAUS (depan) diberi kepercayaan menggalas cabaran Malaysia ke Kejohanan Trek Remaja Dunia di Invercargill, New Zealand bermula 22 hingga 26 Ogos ini.
PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mahu tiga pelumba pelapis negara menunjukkan prestasi cemerlang pada Kejohanan Trek Remaja Dunia di Invercargill, New Zealand bermula 22 hingga 26 Ogos ini.
Timbalan Presiden PKBM, Datuk Naim Mohamad berkata, tiga pelumba terbabit ialah Malek Marcus Mccrone, Muhammad Firdaus Suardi dan Ummi Hamimah Mohamad.
"Mereka kini berada di Melbourne, Australia bagi menjalani latihan. Kejohanan itu juga adalah penampilan sulung mereka dan kami (PKBM) berharap mereka mempelajari sesuatu ketika beraksi di sana.
"Saya yakin mereka sudah bersiap sedia untuk menguji tahap kayuhan mereka walaupun tidak dapat bersama-sama keluarga di saat kita di sini menyambut Aidilfitri," kata Naim semalam.
Naim berkata, beliau mahu ketiga-tiga pelumba pelapis itu menggunakan peluang dan pengalaman berlatih di Melbourne untuk menghasilkan kejayaan seperti pelumba elit, Mohd. Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Fatehah Mustapha.
"Kami tidak letak sasaran tinggi kepada mereka. Saya yakin ini adalah peluang mereka untuk menguji prestasi kayuhan dengan pelumba remaja lain yang bertaraf antarabangsa.
"Bagi saya, mereka (pelumba) mempunyai personaliti dari aspek fizikal badan yang tegap terutama Malek, jadi saya percaya jika mereka menggunakan pengalaman di sana sebaik-baiknya, mereka akan lebih kompetitif," katanya.
Kejohanan itu akan diadakan di Velodrom ILT, Invercargill dan dijangka disertai 400 pelumba dari lebih 30 negara.
Ketiga-tiga pelumba negara dijadualkan berlepas ke New Zealand, Sabtu depan.
No comments:
Post a Comment