Lauretta, Arfy tunjuk taring raih emas
PELUMBA berbasikal trek pelapis negara menutup tirai Kejohanan Berbasikal Trek Piala Asia ACC 2011 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras semalam dengan menyumbang dua pingat emas.
Kedua-dua pingat emas dipungut oleh Lauretta Eva Adrian dan Muhd Arfy Qhairant Amran, masing-masing dalam acara keirin remaja wanita dan lelaki.
Bagi Lauretta Eva, 17, kemenangan pingat emas itu adalah di luar jangkaan dan pingat emas pertama yang pernah dimenanginya.
“Saya tidak sangka dapat meraih pingat emas. Saya hanya sempat berlatih cuma seminggu saja sebelum kejohanan ini bermula kerana menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
“Saingan sememangnya sengit dan saingan utama saya adalah pelumba dari Iran, dia begitu kuat,” kata pelumba yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu.
Pada perlumbaan acara keirin remaja wanita itu, Lauretta Eva yang mencatat masa 13.781 saat berjaya mengatasi saingan daripada Reihaneh Talebisomeehsaraei dari Iran dengan perbezaan hanya 0.001 saat.
Lauretta Eva berharap dia mampu meraih pingat emas dalam acara sama pada Kejohanan Berbasikal Asia Februari depan.
Sementara pingat gangsa acara itu menjadi milik pelumba negara Umi Hamimah Mohamad dengan catatan masa 14.136s.
Bagi Muhd Arfy Qhairant, ia adalah pingat emas keduanya apabila berjaya mengekalkan kejuaraan dimenanginya pada siri kejohanan yang sama tahun lalu.
Pingat perak acara itu dimenangi Warayut Kapunya dari Thailand manakala pingat gangsa menjadi milik seorang lagi pelumba Malaysia, Malek Marcus McCrone.
Dalam kategori elit keirin lelaki, wakil negara Mohd Fattah Amri hanya meraih pingat gangsa, sementara pingat emas dan perak dimenangi dua pelumba Iran, Mahmoud Parash dan Mahmoud Rasouli.
Secara keseluruhan Malaysia berada di kedudukan ketiga selepas mengumpul tiga pingat emas, dua perak dan empat gangsa.
No comments:
Post a Comment