Saturday, December 17, 2011

Dua gangsa buka tirai basikal ACC

Dua gangsa buka tirai basikal ACC
KUALA LUMPUR - Dua gangsa menjadi penawar skuad berbasikal trek negara
pada pembuka tirai Kejohanan Berbasikal Trek Piala Asia ACC 2011 yang
berlangsung di Velodrom Cheras, semalam.
Malaysia yang dibarisi pelumba pelapis meraih gangsa pertama menerusi
Muhd. Arfy Qhairant Amran dalam acara satu kilometer ujian masa
kategori remaja dan Mohd. Fakhruddin Daud menambah pungutan gangsa
bagi kategori elit.
Arfy mencatat 1:10.115 saat tetapi gagal mengekang kehebatan pelumba
Thailand, Thanawut Sanikwathi 1:08.417s yang meraih emas manakala
perak milik pelumba Hong Kong, Lok Chun Wu dengan catatan 1.09.918s.
Pelumba kelahiran Melaka itu mengakui kurang berpuas hati dengan
kayuhannya walaupun berjaya menyumbang pingat pertama buat kontinjen
negara tatkala prestasinya agak menurun sejak kebelakangan ini.
"Prestasi saya selepas pulang dari Kejohanan Trek Dunia Remaja di
Moscow pertengahan Ogos lalu agak menurun kerana tidak sempat berehat
sebaliknya terus berlatih selama tiga bulan di Melbourne bersama
pelumba-pelumba elit.
"Bagaimanapun ketua jurulatih, John Beasley memberi nasihat kepada
saya agar bangkit perlahan-lahan mencari rentak kerana ini kejohanan
pertama saya selepas pulang dari Melbourne, walaupun saya bersemangat
untuk mempertahankan emas keirin yang dimenangi tahun lalu di sini,"
katanya.
Kata Arfy, pencabarnya dalam kategori remaja pada saingan kali ini
ialah pelumba Thailand dan Hong Kong yang menurunkan pelumba remaja
utama masing-masing baik dalam saingan keirin, pecut dan juga satu
kilometer ujian masa.
Sementara itu, Fakhruddin gembira kerana berjaya meraih pingat
individu pertamanya bagi kategori elit.
Pelumba berpengalaman Iran, Mahmoud Parash menamatkan perlumbaan
dengan catatan 1:06.899s untuk meraih emas diikuti Kenta Inake dari
Jepun 1:08.013s.
"Sebelum ini saya ada memenangi pingat gangsa dalam kejohanan yang
sama di Bangkok dalam acara pecut berpasukan bersama Akmal Amrun dan
Mohd. Fattah Amir Zahid tetapi pingat individu adalah lebih manis,"
kata pelumba kelahiran Muar ini.
Selain Arfy dan Fakhruddin, pelumba wanita negara turut mengambil
bahagian dalam acara 500m ujian masa menerusi Lauretta Eva Adrian dan
Ummi Hamimah Mohamad (kategori remaja) dan Ju Pha Som Net (kategori
elit) namun, kesemuanya gagal meraih sebarang pingat.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm

No comments:

Post a Comment