Monday, December 19, 2011

Emas berganda Arfy

Emas berganda Arfy
MOHD. Arfy Qhairant Amran (dua dari kiri) dan Lauretta Eva Adrian (tengah) bersama pelumba negara yang turut meraih pingat pada kejohanan Berbasikal Trek Piala Asia ACC 201 di Velodrom Cheras, semalam. - utusan/MOHD NOOR AMIN 19.12.11 Oleh: FERZALFIE FAUZI ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

MOHD. Arfy Qhairant Amran (dua dari kiri) dan Lauretta Eva Adrian (tengah) bersama pelumba negara yang turut meraih pingat pada kejohanan Berbasikal Trek Piala Asia ACC 201 di Velodrom Cheras, semalam. - utusan/MOHD NOOR AMIN

KUALA LUMPUR - Kontinjen negara mengakhiri saingan Berbasikal Trek Piala Asia ACC 2011 dengan menambah dua lagi pingat emas dalam acara keirin akhir remaja lelaki dan wanita di Velodrom Cheras, semalam.

Pelumba remaja negara, Mohd. Arfy Qhairant Amran bukan sahaja berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya tahun lalu tetapi berjaya menambah koleksi pingat selepas turut muncul juara dalam acara pecut kelmarin.

Kecemerlangan Arfy diteruskan pelumba remaja wanita negara, Lauretta Eva Adrian yang berjaya meraih pingat emas pertamanya dalam kejohanan tersebut walaupun tidak diletakkan sebarang harapan.

Arfy, 18, tidak menghadapi masalah untuk mengenepikan pencabarnya dari Thailand, Worayut Kapunya, yang sekadar berpuas hati dengan meraih pingat perak.

Pingat gangsa acara tersebut turut diraih seorang lagi pelumba negara, Marcus Malik McCrone.

Menurut Arfy, dia amat berpuas hati kerana berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya tahun lepas, lebih manis ia merupakan pingat emas keduanya dalam kejohanan itu.

"Kami mempunyai kelebihan kerana tiga pelumba Malaysia beraksi pada saingan akhir, saya juga sudah berbincang strategi apa yang akan digunakan dalam perlumbaan namun ia agak kurang menjadi," katanya.

Sementara itu, Lauretta tidak sangka berjaya meraih emas pertama dalam saingan tersebut sedangkan pemenang pingat perak, Reihaneh Talebisomeehsaraei dari Iran merupakan pelumba pilihan.

"Sebelum ini dia (Reihaneh) sering memenangi perlumbaan ini, namun hari ini (semalam) saya berjaya melakukan kejutan dengan menumpaskannya saya agak terkejut dengan kejayaan ini," kata pelumba berusia 17 tahun dari Sabah itu.

Pingat gangsa turut dimenangi oleh pelumba negara, iaitu Ummi Hamimah Mohamad yang merupakan pelumba dari Akademi Serantau Ipoh.

Malaysia turut meraih satu perak dalam acara pecut berpasukan dan satu gangsa melalui Mohd. Fattah Amri Zaid dalam acara keirin elit.

Malaysia menamatkan saingan Berbasikal Trek Piala Asia ACC 2011 dengan meraih tiga emas dua perak dan enam gangsa.

Hong Kong muncul juara keseluruhan selepas memungut 12 emas, enam perak dan tiga gangsa, diikuti Iran lima emas, lima perak dan tiga gangsa.

No comments:

Post a Comment