Friday, November 11, 2011

Jenazah pegawai MSN selamat dikebumi di Alor Setar malam tadi

2011/11/11

ALOR SETAR: Jenazah Pegawai Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara (MSN), Harun Osman, 51, yang meninggal dunia di Palembang, Indonesia dua hari lalu, selamat dikebumikan di sini, malam tadi.

Jenazah Harun tiba di rumah ibunya di Jalan Sultanah, di sini, kira-kira 7 malam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Bukhari kira-kira 45 minit selepas tiba.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Khadijah Salim, 50, dua anak lelaki dan seorang anak perempuan berumur sembilan hingga 23 tahun.
Harun meninggal dunia selepas tiba-tiba pengsan dipercayai akibat serangan jantung ketika menunggu ketibaan atlet negara ke Sukan SEA di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud Badarudin II di Palembang pada jam 5 petang (6 petang waktu Malaysia), Rabu lalu.

Ketika ditemui pemberita, Khadijah berkata keputusan untuk mengebumikan jenazah suaminya di sini bagi memudahkan dia dan anak-anaknya melawat kubur arwah nanti dan menurutnya mereka akan berpindah ke Perlis selepas ini.

Katanya, dia berasa tidak sedap hati apabila suaminya langsung tidak menelefonnya selepas berlepas ke Palembang Isnin lalu.

"Apabila berada di luar negara sebelum ini selalunya dia akan telefon atau sekurang-kurangnya SMS kepada saya tetapi kali ini tidak," katanya.
Dengan nada sayu, Khadijah berkata dia menerima panggilan telefon daripada pegawai MSN memaklumkan suaminya meninggal dunia pada waktu Maghrib. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment