Wednesday, February 3, 2016

Program PODIUM


SERAMAI 97 atlet termasuk 27 atlet paralimpik serta 36 jurulatih daripada 21 jenis sukan disenaraikan dalam Program Podium Malaysia yang dilancarkan di Kuala Lumpur semalam.
Senarai itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang turut mengingatkan atlet tidak boleh berasa terlalu selesa dengan pemilihan tersebut kerana mereka mungkin disingkir daripada program berkenaan sekiranya gagal menampilkan aksi yang diharapkan.
“Saya ingin tegaskan, keistimewaan ini bukanlah sesuatu yang kekal sehingga ke akhir karier mereka (atlet) kerana sekiranya mereka gagal tunjukkan prestasi terbaik, kita akan singkirkan mereka dan beri peluang kepada atlet yang lebih layak,” katanya selepas menyempurnakan majlis pelancaran Program Podium di Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.
Antara atlet berprofil tinggi yang disenaraikan dalam program yang berada dalam rangka kerja Prestasi Tinggi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) adalah Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David, Khairul Anuar Mohamad, Mohd. Azizulhasni Awang, Leong Mun Yee, Pandelela Rinong dan Shalin Zulkifli.
Kriteria untuk disenaraikan dalam program tersebut adalah atlet-atlet yang pernah memenangi pingat pada Sukan Olimpik, Sukan Komanwel dan Sukan Asia sebelum ini selain berganding bersama atlet yang berada dalam program tersebut.


No comments:

Post a Comment