Thursday, January 28, 2016

Kayuhan berani Azizulhasni berjaya rangkul gangsa


JAGUH trek berbasikal negara, Mohd Azizulhasni Awang merangkul pingat gangsa dalam acara keirin elit lelaki pada Kejohanan Asia (ACC) 2016 di Velodrom Izu, Jepun, semalam.
Pelumba berusia 28 tahun itu bagaimanapun memberi tentangan sengit sebelum pelumba Korea Selatan, Im Chaebin melintasi garisan penamat untuk meraih pingat emas disusuli oleh pelumba China, Xu Chao dengan pingat perak.
Dua lagi pelumba negara Muhd Shah Firdaus Sharom dan Muhd Khairil Nizam Rasol masing-masing menduduki tempat keepat dan ke-13.
Jurulatih negara, John Beasley berkata Azizulhasni dan Muhd Shah terpaksa berdepan dengan cabaran yang sukar selepas dua pelumba Jepun sentiasa menghalang dua pelumba negara itu berada di hadapan.
"Jepun memberi banyak perhatian kepada pelumba negara dan Azizulhasni melakukan kayuhan berani pada 300m terakhir untuk rangkul gangsa.
"Saya amat gembira dengan kayuhan Azizul dan Shah memandangkan Azizul berehat selama lima minggu akibat kecederaan otot dan hanya kembali berlatih selama tiga minggu," kata Beasley menerusi kiriman terbaru dalam Facebooknya. - Bernama

No comments:

Post a Comment