Pahang pamer aksi mengagumkan
sukan@kosmo.com.my
PAHANG muncul juara dalam acara berpasukan Gimnastik Artistik Wanita (WAG) kelas HP 2 (9-11 tahun) pada Kejohanan Gimnastik Artistik SportExcel-MSN-MILO-MGF 2014 yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.
Pahang yang diwakili empat gimnas iaitu Fakhira Mohammad Rafie, Chan Mei Torng, Aliah Nurdinah Razali serta Lim Zhi Fei mempamerkan persembahan kemas dalam kesemua disiplin yang dipertandingkan, sekali gus membolehkan mereka muncul juara dengan pungutan mata keseluruhan 130.8.
Tempat kedua pula disandang oleh Perak dengan 125.1 mata manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) ketiga (119.1 mata).
Jurulatih WAG Pahang, Daria Grinkina yang berasal dari Ukraine berkata, beliau sememangnya sangat berpuas hati dengan pencapaian serta pesembahan yang telah dipamerkan oleh anak didiknya semalam.
"Mereka melakukan persembahan yang bagus hari ini (semalam) dan kita dapat melihat mereka cuba untuk melakukan yang terbaik sepanjang pertandingan.
"Kami berharap mampu untuk membuat persediaan yang lebih rapi bagi menghadapi pertandingan-pertandingan yang akan datang," ujarnya.
Sementara itu, Daria yang turut dibantu oleh kakaknya, Mariia Grinkina selaku koreografer bagi pasukan Pahang memberitahu, mereka memperuntukkan masa kira-kira empat jam sehari dari 3 petang hingga 7 malam kecuali Ahad untuk melatih gimnas itu.
"Mereka menjalani latihan dengan penuh berdisiplin setiap hari dan banyak meraih kejayaan dalam pertandingan-pertandingan yang disertai sebelum ini.
"Setelah hampir empat tahun melatih pasukan Pahang bersama kakak saya sejak 2010, saya dapat melihat banyak peningkatan yang telah ditunjukkan dan saya juga berbangga apabila dua daripada anak didik saya telah dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan bermula Januari depan," ujarnya.
Dalam pada itu, Sarawak pula membolot keseluruhan tempat di podium bagi acara individu apabila tiga wakilnya, Audrey Jude Rendih muncul johan manakala Cassandra Lavigne kedua serta tempat ketiga disandang oleh Nur Sofea Idayah.
No comments:
Post a Comment