Friday, May 23, 2014

Firdaus raih emas, pecah rekod Asia di Kazakhstan

Firdaus raih emas, pecah rekod Asia di Kazakhstan

KUALA LUMPUR - Pelumba trek remaja negara, Muhammad Firdaus Mohd. Zonis meneruskan prestasi cemerlang tahun ini apabila merangkul pingat emas buat Malaysia dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa remaja lelaki setelah mengetepikan cabaran musuh ketatnya dari Korea Selatan, Jung Jae Hee dalam Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Astana, Kazakhstan semalam.

Anak muda yang lebih mesra dengan panggilan Toi itu turut mencatat rekod baharu remaja Asia dalam acara tersebut de­ngan catatan satu minit 03.962 saat meninggalkan Jea Hee untuk meraih pingat perak, sementara pelumba dari Jepun, Ryuta Nogami memenangi gangsa.

Pemenang tiga pingat emas ACC 2013 itu ketika dihubungi melahirkan perasaan bangga setelah berjaya menjelmakan emas buat Malaysia dan mencapai sasaran masa 1:0.3 saat bagi memecah rekod remaja Asia dalam acara 1km ujian masa.

"Saya bangga dengan pencapaian ini, lebih-lebih lagi saya berjaya memecah rekod remaja Asia. Saya hadiahkan pingat emas yang saya menang ini buat jurulatih, Junaidi Mohd. Nasir," katanya.
Januari lalu, Firdaus berjaya memenangi emas acara keirin dalam kejohanan Piala Trek Jepun Siri Satu 2014, yang mana dia turut mengalahkan Jea Hee yang meraih pingat gangsa, manakala pelumba Hong Kong, Leung Ka Yu merangkul perak.

Bagaimanapun dalam aksi pecut berpasukan remaja lelaki semalam, Firdaus yang bergandingan dengan Mohamad Ahariz Efendi Mohd. Shahrin dan Khairil Nizam Muhammad Rasol sekadar memenangi pingat perak.
Barisan pelumba Korea Selatan yang diketuai Jea Hee, Seok Hye Yun dan Kim Ji Hun me­rangkul emas.
Walaupun hanya memenangi pingat perak, pencapaian skuad muda negara itu wajar dibanggakan setelah mereka berjaya memecah rekod remaja kebangsaan pada peringkat kelayakan dengan catatan masa 46.906s berbanding rekod lama 48.335s yang dilakar dalam kejohanan di India, tahun lalu.

Dalam aksi wanita pula, Jupha Som Net memastikan gangsa menjadi milik negara setelah pelumba tersebut berjaya mengumpul 22 mata menerusi acara perlumbaan mata 20 kilometer wanita elit.
Jupha menamatkan saingan di belakang pelumba Jepun, Kisalo Nakamura dan Chanceng Nontasin dari Thailand setelah kedua-dua atlet berkenaan masing-masing mengumpul 39 serta 28 mata untuk memena­ngi emas dan perak.

Sementara itu, skuad elit negara yang dibarisi Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Muhamad Edrus Md. Yunos sekadar menduduki tempat kelima dalam kelayakan acara berpasukan pecut lelaki, sekali gus menutup peluang mereka untuk memenangi sebarang pingat.

Malah, Josiah melalui akaun Facebook miliknya mengakui kesilapan apabila gagal membantu skuad negara untuk merebut pingat dalam acara tersebut setelah rakan senegara, Azizul melakukan catatan masa sepu­singan pertama yang baik.

"Saya gagal mempamerkan persembahan yang baik dalam acara pecut berpasukan hari ini (semalam).
"Azizul telah melaksanakan tugasnya dengan cemerlang. Saya membuat rakan sepasukan berasa hampa dengan persembahan buruk saya ini. Masih banyak kerja yang perlu saya lakukan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140523/su_04/Firdaus-raih-emas-pecah-rekod-Asia-di-Kazakhstan#ixzz32Wexw7KY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment