Monday, October 31, 2011

Pelayar negara diuji bulan depan

LANGKAWI - Selepas mendominasi Kejohanan Regata Perdana Antarabangsa Geopark Langkawi minggu lalu, pelayar elit dan pelapis kebangsaan bakal diuji pada tiga kejohanan di luar negara bulan depan.

Ketiga-tiga kejohanan tersebut adalah Regata Antarabangsa Qatar (1-7 Februari), Kejohanan Layar Antarabangsa Auckland, New Zealand (1-8 Februari) dan Kejohanan optimist Asia di Pattaya, Thailand dari 1-7 Februari ini.

Pengurus besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA), Mohd. Afendy Abdullah berkata, kejohanan di Auckland menjadi tumpuan utama MYA kerana ia akan disertai oleh 20 buah negara.

Katanya, Malaysia bakal dibarisi oleh 10 pelayar elit dan pelapis pada kejohanan itu, termasuk anak orang asli pertama yang mewakili pasukan layar kebangsaan, Norashikin Mohd. Sayed.

Norashikin, 16, akan berganding dengan Khairunnesa Mohd. Afendy dalam kategori 420 manakala turut dibariskan adalah pelayar handalan, Mohd. Romzi Mohamad dan Khairul Nizam Mohd. Afendy dalam kategori Laser Radial.

Pada Regata Antarabangsa Qatar pula, Malaysia bakal membariskan 14 pelayar elit dan pelapis, yang mana misi mereka cuba mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada kejohanan tahun lalu, termasuk 470 dan Optimist.

Sementara Kejohanan Optimist Asia di Pattaya yang sepatutnya diadakan tahun lalu tetapi ditunda kerana situasi politik Thailand bakal menyaksikan penyertaan lima pelayar negara.

Kata Afendy, ketiga-tiga kejohanan ini bakal memberi pendedahan luas kepada pelayar dalam usaha Malaysia membentuk pasukan mantap bagi menghadapi Sukan Asia 2010 di China.

Pada Regata Perdana Antarabangsa Langkawi Geopark 2009, pelayar elit dan pelapis negara mencatat kejayaan hebat apabila menggondol 10 daripada 13 kategori yang dipertandingkan dalam kejohanan yang disertai lebih 200 pelayar dari sembilan buah negara.

Sementara itu, jurulatih kebangsaan, Abdul Rani Idris berkata, pelayar Malaysia masih memerlukan banyak pendedahan dan latihan berprestasi tinggi jika mahu memberikan cabaran ke peringkat lebih besar.

Seramai 27 pelayar kini menjalani program elit dan pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) di pusat perahu layar kebangsaan di sini sejak Jun lalu. - Bernama

No comments:

Post a Comment