Monday, October 31, 2011

Olahraga tiada ikon - Jefri

ARKIB : 05/09/2011


KUALA LUMPUR - Tiada ikon dalam sukan olahraga menjadi antara faktor sukar untuk melahirkan atlet baru berkualiti dalam sukan tersebut.

Demikian pandangan Pengarah Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara, Jefri Ngadirin yang turut bimbang tentang masa depan sukan olahraga sekiranya masih tiada bintang baru.

Katanya, ketika ini murid sekolah rendah lebih mudah meminati sukan yang mempunyai ikon seperti penyerang sensasi Safee Sali dalam bola sepak serta pemain No.1 badminton Dunia, Datuk Lee Chong Wei.

"Lihat sahaja budak-budak pada peringkat sekolah rendah. Semua mahu menjadi seperti Safee kerana mereka tahu pemain tersebut hebat.

"Ini semua banyak mempengaruhi perkembangan sesuatu sukan kerana seandainya ramai yang terlibat dalam sukan olahraga, sudah tentu kita mempunyai ramai pilihan seperti mana dalam sukan bola sepak.

"Budaya mengagumi ikon dalam sukan tidak boleh dielakkan. Sebab itu sukan olahraga perlu ikon yang cukup kuat untuk menarik minat murid pada peringkat sekolah rendah," katanya.

Tambah Jefri, perkembangan sukan olahraga pada peringkat bawah masih belum berada pada tahap yang baik berbanding sukan-sukan lain.

Sebagai contoh, atlet olahraga peringkat negeri yang menyertai kejohanan tempatan, lebih mudah untuk mendapatkan pingat berbanding era terdahulu yang lebih sukar kerana saingan sengit.

"Kadang-kadang jumlah yang menyertai sesuatu acara tidak sampai lima atlet, malah ada acara terpaksa dibatalkan kerana kurang penyertaan.

"Kita tahu sukar untuk dapatkan atlet yang berkualiti. Sebab itu kita wujudkan pelapis serantau untuk ambil bakat muda peringkat negeri supaya mereka dapat dibantu pada usia muda," jelas Jefri.

No comments:

Post a Comment