Saturday, July 12, 2014

Program Pelapis Boleh Lahirkan Atlet Berbakat Dan Berpotensi - MSN



Program Pelapis Boleh Lahirkan Atlet Berbakat Dan Berpotensi - MSN

BUKIT MERTAJAM, 10 Julai (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) berharap program pelapis yang dilaksanakan di pelbagai peringkat dapat melahirkan kumpulan atlet berpotensi dan boleh diketengahkan pada masa hadapan.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Zolkples Embong berkata kebanyakan atlet yang mengikuti program pelapis sedia ada telah menunjukkan peningkatan dan prestasi yang begitu baik.

"Ada (atlet) yang telah mencapai kejayaan, malah memenangi pingat di pelbagai peringkat antarabangsa termasuk Sukan SEA, kejohanan peringkat remaja dan sebagainya.

"Pada masa sama, sejak program di Akademi Serantau MSN diperkenalkan pada 2008, seramai 10 atlet telah diserapkan terus ke program elit manakala 124 atlet diserap ke program pelapis," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa Akademi Serantau MSN, di kuarters Institut Pendidikan Taman Desa Damai, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya mengharapkan atlet-atlet pelapis itu dapat mengambil alih tempat atlet elit seperti jaguh badminton Datuk Lee Chong Wei, jaguh skuasy Datuk Nicol David, ratu terjun Pandalela Rinong dan pelumba basikal Azizulhasni Awang pada satu masa kelak.

Zolkples berkata MSN sentiasa menyediakan kemudahan yang terbaik untuk atlet termasuk program pelapis serantau di kuarters Institut Pendidikan Taman Desa Damai.

Beliau berkata pihaknya sedang dalam proses mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Pendidikan untuk meletakkan dua blok penginapan di kuarters berkenaan di bawah pengurusan MSN.

Katanya, sekiranya permohonan itu diluluskan ia dapat memudahkan MSN menambah baik dan mempertingkatkan kemudahan sedia ada termasuk membina pusat latihan untuk sukan tinju dan sukan angkat berat di akademi tersebut.

Terdahulu, pada majlis itu Zolkples menyerahkan insentif skim kecemerlangan sebanyak RM20,000 kepada Pusat Latihan Negeri Kedah untuk menambah baik program sedia ada.

-- BERNAMA‎

No comments:

Post a Comment