Muhammad Firdaus antara pelumba yang terpilih ke Kejohanan Trek Dunia 2013 di Glasgow.
KUALA LUMPUR - Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menghantar tujuh pelumba remaja ke Kejohanan Trek Dunia 2013 Glasgow dan dalam masa yang sama mahu menguji keupayaan pelumba endurance serta mengharapkan kejayaan dari pelumba pecut.
Timbalan Presiden PKBM, Datuk Naim Mohamad berkata, ketujuh-tujuh pelumba itu akan menyertai kejohanan yang bermula dari 7 hingg 11 Ogos ini di Velodrom Chris Hoy gelanggang yang akan digunakan di Sukan Komanwel tahun depan.
"Mereka akan bersaing dalam pelbagai acara dan ini adalah gelanggang terbaik untuk mereka meraih kejayaan seterusnya menyarung jersi pelangi selaku juara remaja dunia," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Mereka ialah Muhammad Firdaus Mohd Zonis, Asyraf Naim Ying, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Afiq Huznie Othman, Muhammad Aele Shafri Rusli, Irwandie Lakasek dan Mohamad Farid Razali.
Firdaus bakal menggalas tugas berat apabila menyertai empat acara pecut, satu kilometer ujian masa, keirin dan pecut berpasukan, manakala Asyraf pula beraksi dalam acara satu kilometer ujian masa dan pecut berpasukan. Seorang lagi pelumba Shah Firdaus mengambil bahagian dalam acara pecut, keirin dan pecut berpasukan.
Sementara itu, bagi endurance pula, Afiq akan mengambil bahagian dalam acara kejar-mengejar berpasukan, perlumbaan mata, scratch dan omnium, diikuti Aele Shafri yang menyertai acara kejar-mengejar berpasukan, perlumbaan mata dan omnium.
Irwandie pula bakal beraksi dalam acara kejar-mengejar berpasukan, kejar-mengejar individu, scratch dan omnium sementara Farid pula beraksi dalam acara kejar-mengejar berpasukan dan kejar-mengejar individu.
"Pelumba pecut akan berlepas ke Glasgow pada Selasa minggu depan dan mereka akan menyertai pelumba endurance yang sekarang ini sedang mempersiapkan diri di Gent, Belgium.
"Mereka akan mendapat pendedahan terbaik di kejohanan ini bagi meneruskan kesinambungan pelumba senior negara seperti Josiah Ng dan Mohd. Azizulhasni Awang.
"Mereka juga telah beraksi cemerlang di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2013 New Delhi Mac lalu apabila meraih empat emas, satu perak dan dua gangsa," katanya.
Firdaus atau terkenal dengan nama timangan 'Toi' telah menghadiahkan tiga emas buat negara di kejohanan tersebut manakala Irwandie juga turut mencuri tumpuan dengan menjuarai acara scratch.
"Kejohanan ini juga akan menguji keupayaan pelumba endurance negara, kerana sebelum ini hanya pelumba pecut sahaja yang sering menonjol. Saya harap mereka mampu beraksi cemerlang dalam acara kejar-mengejar," katanya.
Skuad negara akan ditemani pegawai, Mohd. Izham Mohamad dan jurulatih Suod Hussain dan penolong jurulatih, Junaidi Mohamad Nasir. Mereka juga bakal menyambut sambutan Hari Raya Aidilfitri di Glasgow.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130722/su_04/Tujuh-pelumba-remaja-pikul-cabaran-trek--dunia#ixzz2Zjdgd3BK
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment