Elak tragedi berulang - Ahmad
sukan@utusan.com.my
KUALA TERENGGANU - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said meminta Majlis Sukan Negara (MSN) meningkatkan aspek keselamatan atlet berbasikal terutamanya ketika latihan bagi mengelakkan tragedi kemalangan maut yang menimpa seorang atlet pelapis negeri itu kelmarin, berulang.
Katanya, tragedi menyayat hati yang menimpa atlet pelapis basikal Terengganu, Muhammad Syafiq Imran Syahril, 15, yang maut akibat digilis treler ketika menjalani latihan di Kampung Bukit Guntung, Tepoh dekat sini kelmarin, seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak termasuk pihak pengurusan.
Difahamkan ketika insiden itu berlaku, tiada pengawasan dari pihak jurulatih kerana mereka dikatakan berhenti mengisi minyak sebelum kejadian.
Justeru itu, beliau juga meminta semua pihak berkaitan meningkatkan aspek keselamatan terhadap para pelumba ketika latihan bagi menjamin keselamatan mereka.
"Perkara seperti ini sama sekali tidak sepatutnya berlaku. Sepatutnya ada kenderaan di hadapan dan di belakang yang mengawal pergerakan kumpulan ini.
"Saya harap insiden ini dapat menjadi pengajaran kepada semua pihak," katanya ketika melawat keluarga Muhammad Syafiq Imran di Kampung Seberang Baruh di sini semalam.
Ahmad turut menambah, kemalangan berkenaan boleh dielakkan sekiranya semua pihak memainkan peranan ketika berada di jalan raya dan sikap prihatin perlu menjadi tanggungjawab kepada semua.
Jelasnya, pengguna jalan raya juga sepatutnya perlu lebih prihatin jika melihat kumpulan atlet berbasikal membuat latihan dengan memperlahankan kenderaan dan memberi laluan kepada mereka.
Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Halim Mohd. Ishak ketika dihubungi semalam memaklumkan, pihaknya telah mengambil keterangan daripada pemandu treler berkenaan dan pihak polis sedang menyiasat mengenai kejadian tersebut.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130607/su_06/Elak-tragedi-berulang---Ahmad#ixzz2Vdtc0QJw
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment